LONDON: Robin van Persie percaya Thierry Henry (gambar) amat berani kerana kembali beraksi untuk Arsenal.
Bekas kapten Gunners itu yang menandatangani kontrak pinjaman jangka pendek dari New York Red Bulls menjadi tumpuan media sekali lagi apabila menambah rekod jaringannya bersama kelab itu selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan Leeds, 1-0 pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Emirates, Isnin lalu.
Henry, 34, yang akan menghabiskan tempoh enam setengah minggu di Arsenal dan mungkin diturunkan dalam perlawanan menentang Swansea malam ini, manakala Van Persie pula dijangka kembali selepas diberi peluang berehat dan tidak beraksi dalam perlawanan piala itu.
Ketika pemain Belanda itu datang ke Arsenal pada Mei 2004, dia hanya pemain mentah manakala Henry pula berada di kemuncak.
Kini, Van Persie muncul antara penjaring terbanyak dunia bola sepak dengan menjaringkan 34 gol untuk mengatasi rekod Henry sepanjang setahun. Pemain berusia 28 tahun itu nyata kagum dengan apa yang dilakukan kapten lamanya itu.
“Ada yang bertanya mengapa dia pilih untuk kembali kerana dia seorang legenda di sini,” kata Van Persie yang menyarung ikatan lengan kapten musim ini. “Bagi saya, ia menceritakan segala-galanya mengenai dirinya. Thierry kembali kerana dia cintai sukan ini.
“Saya percaya dia akan beraksi kerana saya sudah melihat dia berlatih dan meskipun saya tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan tetapi dia memang hebat,” katanya. - Agensi
0 comments:
Post a Comment