ATLET menembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London dalam acara 10m air raifal di Kejohanan Menembak Asia ke-12 di Doha, Qatar semalam.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi itu layak selepas mencatat 397 mata untuk menduduki tempat kelima, begitupun masih layak untuk mewakili negara ke London.
Jurulatih menembak kebangsaan, Saidov Isroil ketika dihubungi di Qatar memuji persembahan anak didiknya yang dikatakan memecah rekod sebagai atlet pertama dari negara yang menyertai Olimpik menerusi acara air raifal apatah lagi dengan penyertaan 60 penembak daripada 25 negara.
Menurutnya, Suryani layak apabila ketiga-tiga atlet yang menduduki tangga teratas acara itu dari China dan Kuwait sudah layak ke Olimpik sebelum ini.
“Hanya dua tiket ditawar untuk acara ini dan peserta Iran yang menduduki tempat keempat dan Suryani di tempat kelima berjaya melayakkan diri ke London. Lebih penting lagi, perbezaan mata tidak begitu jauh.
“Suryani sedar ini adalah kejohanan terakhir untuk layak ke Olimpik dan dia memberi semaksimum mungkin. Saya harap lebih ramai lagi atlet Malaysia akan layak selepas ini,” kata jurulatih dari Belarus itu.
Suryani, pemenang dua pingat emas Sukan Sea Indonesia dan juga penerima anugerah Olimpian tahun lalu mengikuti jejak Hasli Izwan Amir Hassan yang sebelum ini pernah layak ke Sukan Olimpik Beijing.
Dua tahun lalu, Suryani hampir menempah tiket ke Olimpik selepas meraih pingat perak dalam kejohanan menembak ISSF di Sydney, Australia dalam acara 25 meter air raifal dengan catatan 499.6 mata.
0 comments:
Post a Comment