USAHA pengendali skuad negara, Ong Kim Swee mempersiapkan pasukannya bagi mengharungi baki kempen kelayakan Sukan Olimpik London 2012 tampak terjejas apabila aksi persahabatan menentang Arab Saudi, 31 Januari ini terpaksa dibatalkan.
Menurutnya, beliau terpaksa membuat keputusan membatalkan perlawanan itu memandangkan Arab Saudi tidak memberi sebarang maklum balas mengenai kesediaan mereka sehingga kini.
“Sehingga ke hari ini (semalam) Arab Saudi tidak memberi keputusan sama ada mahu atau tidak meneruskan perlawanan persahabatan itu.
“Saya tidak boleh terus menunggu kerana masa semakin suntuk dan saya perlu mencari alternatif lain. “Perlawanan persahabatan penting bagi saya menguji pemain sebelum menghadapi Bahrain awal bulan depan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Menurutnya, beliau berharap dapat mencari pengganti Arab Saudi itu dengan masih mengintai lawan dari pasukan Timur Tengah.
Pada awalnya, skuad Olimpik bawah 22 tahun negara akan berada di Riyadh untuk mengadakan latihan pusat dan perlawanan persahabatan sebelum turun beraksi menentang Bahrain di Manama.
Perlawanan dengan Bahrain itu adalah aksi keempat Malaysia dalam Kumpulan C dengan skuad negara ketika ini menduduki tangga tercorot daripada empat pasukan selepas mencatat kekalahan di tangan Jepun 2-0, Syria 2-0 dan Bahrain 3-2.
Kim Swee yang baru pulang dari Kemboja bersama skuad Harimau Muda A yang menjadi teras skuad Olimpik berkata, semua pemain Olimpik akan berkumpul selepas cuti Tahun Baru Cina minggu depan.
Mengulas mengenai aksi anak buahnya yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas skuad bawah 23 Kemboja Sabtu lalu, beliau mengaku masih ada kelemahan perlu diperbaiki.
Harimau Muda A turut membuat persiapan rapi bagi mengharungi Liga Singapura bulan depan.
0 comments:
Post a Comment