MUNGKIN filem aksi dan pertarungan adalah satu genre yang biasa disajikan untuk peminat filem tempatan. Namun ia hanya ditonjolkan secara umum dan tidak lebih terperinci. Belum ada sebuah filem yang benar-benar menonjolkan aksi dalam sukan tertentu seperti filem Hollywood.
Kekurangan genre sebegini mendorong syarikat produksi Northstar Acres Sdn Bhd, tampil menghasilkan filem berjudul Khon Malay yang memaparkan aksi pertarungan sukan tinju. Menariknya filem lakonan Zarina Anjoulie, Akma Sahib, Muhammad Syazwan dan Murad Zaid yang diarahkan oleh Imran Ismail ini berkisarkan dunia tinju wanita yang digalas oleh Zarina sebagai pelakon utama.
Tidak mahu sekadar ‘propa’ menggambarkan aksi-aksi itu hanya lakonan depan kamera, Penerbit Bersekutu Northstar Acres Sdn Bhd, Asri Abdul Rahman ‘mendera’ semua pelakon Khon Malay menjalani latihan tinju bertujuan mendedahkan mereka kepada latihan sebenar sebagai peninju selain memberikan stamina buat mereka sepanjang penggambaran filem ini nanti.
Tidak mudah untuk menghasilkan genre filem sebegini dan Asri tidak mahu filemnya jadi bahan kutukan apabila menemui peminat nanti. Justeru dia mengarahkan mereka berkampung hampir dua bulan di Exclusive Fitness, Stadium Shah Alam baru-baru ini, bagi menjalani latihan intensif.
Tidak mudah untuk menghasilkan genre filem sebegini dan Asri tidak mahu filemnya jadi bahan kutukan apabila menemui peminat nanti. Justeru dia mengarahkan mereka berkampung hampir dua bulan di Exclusive Fitness, Stadium Shah Alam baru-baru ini, bagi menjalani latihan intensif.
Memang teruja menyaksikan kesungguhan mereka berlatih di situ. Biarpun penat dan bermandi peluh, Zarina dilihat menunjukkan komitmen penuh dalam mempelajari beberapa teknik dalam sukan tinju. Apatah lagi cabaran bergelar heroin menuntutnya memberikan lakonan terbaik. Dia mula terfikir untuk menjadikan aktiviti ini bagi mengisi masa lapang.
“Tak dinafikan latihan ini agak memenatkan kerana memerlukan banyak stamina. Banyak perkara baru yang saya belajar daripada asas menjaga stamina sehinggalah kepada teknik berlawan. Semua latihannya agak keras. Namun keletihan hanya dirasai pada peringkat awal kerana lama-kelamaan akan jadi biasa.
“Walaupun agak penat, saya beruntung kerana diberi tunjuk ajar yang bagus oleh Murad dan rakan-rakannya. Bayangkan, sekiranya mahu mendapatkan jurulatih yang bagus, kita perlu membayar RM300 untuk sejam, tapi saya diberikan semuanya percuma. Tindakan penerbit ini sangat bijak kerana latihan ini dapat buka mata saya terhadap kehidupan sebenar seorang peninju,” katanya.
Zarina yang kini menjalani penggambaran filem Ular terbitan KRU Motion Pictures di Lumut menambah, banyak perubahan dialaminya kini terutama dari segi fizikal. Bahkan dia bercadang mahu meneruskan aktiviti ini untuk masa seterusnya.
“Perancangan untuk itu memang ada. Tapi sebenarnya saya ada agenda yang lebih besar iaitu teringin sertai pertandingan tinju di arena tempatan. Sebenarnya, banyak pertandingan sebegini diadakan oleh persatuan tinju yang aktif. Saya memang ada jurulatih sendiri dan yakin nak melangkah masuk gelanggang apabila sampai waktunya,” katanya yang kini kembali rancak berlakon.
Bekas pelakon drama Di Bawah Ketiak Isteri, Maizatul Akma Hidayathullah Sahib atau Akma Sahib, sebelum ini banyak menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti menyelam di pulau peranginan terkenal. Pendedahan dengan sesi latihan ini membuka minatnya untuk menghabiskan masa di kelab kesihatan sebagai cara menghabiskan masa santai selepas ini.
“Saya akur kena menjalani latihan tinju kerana jalan ceritanya pun berkisarkan tinju. Rasanya ini kali pertama negara kita buat filem genre ini. Dua bulan belajar daripada kosong, tentunya banyak benda baru akan dipelajari. Seperti Zarina, saya mengakui sesi latihan memang keras. Tapi kepuasan akan diperolehi kerana ia lain daripada yang lain.
“Inilah peluang yang saya tunggu kerana kalau tak berlakon filem ini, mungkin saya takkan belajar mengenai sukan tinju. Selepas ini saya pasti akan kerap datang ke kelab kesihatan bukan saja untuk menjaga stamina tapi juga untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik kerana terdapat pelbagai jenis peralatan senaman boleh digunakan,” katanya.
Muhammad Syazwan Mohd Hashim, atau Syazwan pernah membintangi drama Bona Boni. Bekas graduan jurusan teater di Aswara ini gembira apabila ditawarkan berlakon filem pertama. Dia pernah belajar taekwondo dan silat, namun ini pengalaman pertama belajar tinju.
“Ini hanya peringkat asas dan dari pengalaman saya mendapati setiap sukan ini ada disiplin berbeza. Saya percaya latihan ini dapat memberikan kami kelebihan untuk menghayati watak masing-masing ketika penggambaran nanti. Sebagai lelaki, saya teruja menjalani latihan begini kerana sedikit sebanyak mencabar ketahanan fizikal,” katanya yang akan mempraktikkan ilmu yang dipelajarinya dalam filem ini.
Murad pula yang pertama kali berlakon, bukan calang-calang kerana pernah menyertai pertandingan di Amerika Syarikat dan Thailand. Dia terpaksa bersara awal akibat kecederaan dan kini menumpukan perhatian terhadap kelab kecergasan miliknya ini.
“Saya memang ajar pelbagai cabang sukan seperti tinju kepada mereka yang berminat. Disebabkan nampak kebolehan saya, Imran terus tawarkan saya berlakon filem ini. Sebagai persediaan, saya kena turunkan ilmu bertinju kepada Zarina. Bagaimanapun latihan yang diberikan taklah terlalu berat kerana bertujuan nak memantapkan stamina mereka. Saya nampak dia sangat bagus.
“Dari hari ke hari, mereka semakin menampakkan peningkatan ketara daripada segi stamina. Sudah ada perbezaan berbanding hari pertama. Walaupun tak sempurna, sekurang-kurangnya mereka akan dapat menunjukkan lakonan terbaik dalam filem Khon Malay nanti,” katanya.
Tambahnya, sambutan yang ditunjukkan oleh mereka yang prihatin dengan soal kesihatan juga menggalakkan apabila Exclusive Fitness turut dikunjungi oleh artis, penjawat awam dan atlet sukan. Malah dia juga menyediakan jurulatih untuk lelaki dan wanita.