MALAM yang sarat dengan nostalgia. Malah penonton turut larut apabila dibawa mengimbau kembali satu fragmen indah dalam hidup yang sudah lama ditinggalkan. Inilah gambaran apabila menyaksikan malam pembukaan Konsert Awie & Ella (Raja & Ratu Rock Malaysia) di Istana Budaya, Khamis lalu.
Keserasian gandingan mereka dalam konsert anjuran Tall Order Productions milik Hans Isaac yang akan berlangsung sehingga esok (Ahad) ini jelas menjadi tarikan tersendiri sehinggakan peminat tidak terasa durasi persembahan selama sejam 45 minit tiba penamatnya. Ada yang terus mengharapkan persembahan dilanjutkan sehingga dua jam.
Seperti Awie dan Ella yang nampak ‘enjoy’ di atas pentas, begitulah juga penonton yang awal-awal lagi membeli tiket secara ‘online’ untuk menyaksikan konsert ini kerana mereka sangat terhibur dengan barisan lagu yang dinyanyikan. Bahkan tidak terdengar langsung rungutan mengatakan persembahan ini membosankan.
Sinonim dengan usia Awie dan Ella, rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada golongan peminat yang setia menyokong mereka sejak awal menyanyi sehingga kini. Bagaimanapun konsert ini tetap berjaya menarik golongan peminat muda. Turut kelihatan di kerusi penonton beberapa rakan artis seperti Julia Ziegler dan Neelofa.
Sinonim dengan usia Awie dan Ella, rata-rata penonton yang hadir terdiri daripada golongan peminat yang setia menyokong mereka sejak awal menyanyi sehingga kini. Bagaimanapun konsert ini tetap berjaya menarik golongan peminat muda. Turut kelihatan di kerusi penonton beberapa rakan artis seperti Julia Ziegler dan Neelofa.
Mereka menguasai pentas selepas itu apabila saling bertukar posisi menyanyikan lagu masing-masing. Awie menyanyikan lagu daripada album solonya iaitu 1570, diikuti Ella dengan lagu Teruja. Berikutnya Awie kembali menyampaikan lagu Funky Monyet dan seterusnya Ella mendendangkan Ala Amerika.
Terpegun seketika peminat kerana gaya lincah Ella tetap sama seperti beberapa tahun sebelumnya. Selesai lagu rancak, mereka berduet menyanyikan lagu Dua Insan. Namun sebelum itu, kedua-duanya sempat berceloteh mengimbas kembali kenangan dulu-dulu apabila digandingkan kali pertama menerusi filem Pemburu Bayang pada 1993.
Satu Panggung Sari pecah dengan gelak ketawa apabila Ella membuka rahsia Awie yang menguratnya ketika kali pertama bertemu membuatkan Awie malu-malu. Sama ada ia rekaan atau benar, adegan usik-mengusik antara mereka jelas menghidupkan lagi konsert yang menampilkan barisan pemuzik hebat di bawah pimpinan Edrie Hashim sebagai pengarah muzik.
Segmen nostalgia yang menyusul berikutnya ternyata menerima sorakan yang paling gemuruh peminat. Kekal dengan konsep bertukar posisi, lagu-lagu yang mengisi slot ini ialah Di Bayang Awan, Cinta Selembut Sutera, Tiada Rahsia Antara Kita, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Ukiran Jiwa, Tiada Tangis Lagi, Nostalgia Cinta, Pedih, Di Penjara Janji, Pengemis Cinta, Bara, Sembilu, Ratuku dan Gemilang.
Biarpun dibuat secara medley, ia tetap memberikan kepuasan maksimum buat semua yang hadir. Akhirnya pentas ditutup dengan lagu Terima Kasih oleh Awie dan Ella.
Ditemui selepas konsert berakhir, kedua-duanya mengakui lega apabila persembahan mereka mendapat reaksi positif daripada peminat yang hadir.
“Saya gembira dan berterima kasih buat mereka yang menyokong. Saya minat Awie dan persembahan ini menjadi detik paling manis buat saya,” kata Ella.
Awie pula berterima kasih buat Hans kerana memberi kepercayaan terhadapnya dan Ella beraksi di pentas yang gah ini.
“Tanpa dia, kami takkan dapat buat semua ini. Terima kasih juga buat penyokong saya dan Ella yang hadir menonton. Saya bersyukur kerana perjalanan malam ini berjalan lancar dengan saya sedikit masalah teknikal,” katanya.
Hans pula melahirkan kepuasan dengan apa yang ditunjukkan oleh Awie dan Ella. Dia tidak bercadang mengadakan konsert sebegini untuk artis lain sekiranya Awie dan Ella menolak.
“Saya tengok peminat suka dan puas. Satu keajaiban berlaku di IB. Penat berbulan-bulan untuk buat persediaan terasa berbaloi melihatkan respon yang baik.
“Sebenarnya tiket untuk menyaksikan persembahan masih ada dijual terutamanya yang berharga RM140 ke atas. Ada pihak yang sudah membuat tempahan tetapi tidak mengambilnya,” katanya.
Persembahan untuk hari ini dan esok akan berlangsung dua sesi iaitu jam 3 petang dan 8.30 malam. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang http://www.ticket2U,biz atau menghubungi talian 03-41478600.
0 comments:
Post a Comment