JAKARTA 13 Jan. – Penganalisis politik menyatakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono perlu bertindak tegas dalam membuat keputusan jika tidak mahu kerajaan kehilangan kuasa dalam mentadbir negara selepas anggota masyarakat mula mengambil tindakan sendiri untuk melaksanakan agenda masing-masing.
Seorang penganalisis Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Philips J. Vermonte berkata, tindakan lembap Susilo dalam menangani konflik di dalam negara menyumbang kepada kelemahan kuasa kerajaan, satu keadaan yang menyebabkan rakyat mengambil tindakan sendiri dalam melaksanakan kehendak mereka.
‘‘Kita akan menghadapi situasi di mana kerajaan kehilangan kuasa ketika elemen dalam masyarakat menjadi lebih kuat.
‘‘Keadaan ini akan berlaku jika Susilo mengekalkan tindakannya dalam memberi maklum balas untuk menangani krisis dalam negara,’’ katanya dalam satu sidang media semalam.
Beliau memetik laporan ahli sains politik Amerika Syarikat (AS), Joel S. Migdal bertajuk Strong Societies, Weak States.
Beliau berkata, berdasarkan apa yang berlaku sepanjang 2011, situasi dijangka tidak berubah tahun ini.
‘‘Tahun lepas, kumpulan minoriti hidup dalam keadaan bahaya apabila bermulanya serangan ke atas kumpulan Ahmadiyah di Cikeusik dan berakhir dengan pembunuhan penduduk di Bima, Nusa Tenggara Barat.
‘‘Tahun ini akan kekal berbahaya untuk golongan minoriti jika kerajaan enggan menghukum dalang serangan dan membawa mereka ke muka pengadilan,’’ katanya. – AGENSI
0 comments:
Post a Comment