WASHINGTON 13 Jan. - Tentera Marin Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti identiti askar-askar yang dipercayai membuang air kecil ke atas mayat pejuang Taliban di Afghanistan.
Seorang pegawai kanan tentera yang enggan dikenali itu berkata, Pentagon telah mengenal pasti identiti askar-askar terbabit dan pangkalan mana mereka ditempatkan.
Jurucakap tentera marin, Leftenan Kolonel Joseph Plenzler berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti unit berkenaan kerana ia masih dalam siasatan.
Saluran televisyen CNN yang memetik seorang pegawai marin berkata, tentera yakin askar-askar yang terlibat adalah dari Batalion Ketiga, Rejimen Marin Kedua yang berpangkalan di Kem Lejeune, North Carolina.
Unit berkenaan dikerahkan ke wilayah Helmand, Afghanistan pada awal 2011 dan pulang pada September atau Oktober lalu, lapor CNN.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta mengutuk kejadian itu dan menyatakan bahawa siasatan penuh akan dijalankan oleh tentera marin dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang berpangkalan di Kabul.
Jurucakap White House, Jay Carney berkata, Panetta turut menghubungi Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang mengutuk kejadiaan itu sebagai tidak boleh diterima akal dan amat dikesali.
''Saya tidak tahu sama ada Karzai telah melihat video berkenaan.
''Namun, dia sedar akan kewujudannya dan melahirkan pandangan sama dengan Panetta,'' ujarnya. - AFP
0 comments:
Post a Comment