PADA zaman siber ini, cara bergaduh pun sudah lain. Tiada lagi adegan tarik rambut atau tolak menolak dalam kolam. Orang sekarang bergaduh menerusi laman sosial facebook (fb) dan twitter.
Segala luahan dan rasa sakit hati disampaikan dalam kedua-dua laman itu sehingga menimbulkan elemen tuduh menuduh dan caci maki. Apabila saling jawab menjawab, perkara yang kecil menjadi besar. Siapa yang benar dan siapa yang salah, pun dah tak tahu kerana apabila ditanya masing-masing tidak mahu mengaku.
Antara yang hangat diperkatakan kini, kononnya Fazura menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada seorang lagi pelakon cantik menerusi Twitternya. Pelbagai perkataan yang kurang manis diluahkan oleh Fazura.
Bertemu dengannya selepas pratonton filem lakonan terbarunya, Bujang Telajak Belum Terlanjur di GSC Signature @ The Gardens, baru-baru ini, perkara itu diajukan kepadanya dan dalam nada yang tenang, katanya apa saja yang ditulis di laman Twitternya adalah mengenai dirinya.
“Kalau di Twitter, saya lebih suka bercakap mengenai diri sendiri dan tidak langsung menujukan kepada sesiapa. Apa saja catatan adalah berkaitan diri saya, langsung tidak kena mengena dengan sesiapa.
“Saya tidak menggunakan laman Twitter untuk mengutuk orang. Tetapi kalau ada yang terasa hati, terpulanglah pada mereka,” katanya yang enggan memanjangkan perkara itu.
Beralih kepada kerjaya seninya, meskipun Fazura belum pernah berbicara secara terbuka mengenai jejaka yang bertakhta di hatinya kini, namun ramai yang sudah tahu siapakah insan bertuah itu. Sejak itu juga Fazura semakin jarang berlakon sehingga ada produser yang merungut sukar untuk mendapatkannya muncul dalam drama atau pun filem terbitan mereka.
Kesukaran untuk mengambil gadis jelita itu berlakon juga dikatakan ada kena mengena dengan percintaannya itu.
Jelas Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, yang tampil berseri menyarungkan gaun petang warna ungu itu, dia akui yang semakin jarang tampil di layar TV atau layar lebar kerana kebanyakan watak yang ditawarkan kepadanya sama saja.
“Oleh kerana penonton suka melihat aksi saya sebagai Bella dan filem Pisau Cukur, selepas itu setiap tawaran yang datang menghulurkan watak yang sama. Walaupun saya dapat membawakan watak itu dengan baik tetapi saya tak mahu ‘melekat’ dengan satu watak saja.
“Berilah peluang saya bawa watak lain dengan karakter yang lebih mencabar. Saya mengidam untuk berlakon jadi jahat kerana saya ingin menyelami hati dan perasaan sebagai perempuan jahat. Saya mengagumi lakonan Ning Baizura dalam filem Gemilang. Saya juga mahu berlakon dalam filem seram tetapi tiada siapa yang melamar saya untuk membintangi filem genre seperti itu.
“Apabila saya melihat pelakon lain memegang watak jahat dalam drama atau filem, saya tertanya-tanya apa yang sedang difikirkannya pada ketika itu. Sudah puas saya melakonkan watak yang biasa-biasa ini. Itulah antara sebab kenapa saya sanggup menolak banyak tawaran berlakon dan ia tiada berkaitan langsung dengan percintaan saya.
“Sebab lain saya jarang berlakon kerana ibu saya sudah tua dan dia tidak suka saya membawakan watak sembarangan. Katanya, ‘tak manis’. Malah kalau boleh dia tak mahu saya terus berada dalam bidang lakonan dan dia lebih suka menceburi bidang lain seperti bisnes.
“Semakin meningkat usia, ibu semakin sensitif dan dia tak mahu melihat saya beraksi keterlaluan ketika berlakon dan sebagai anak, saya perlu menghormati perasaan dan permintaannya. Sedangkan saya masih minat berlakon tetapi bagi menghormati perasaan ibu, saya akan memilih watak tertentu saja,” katanya.
Bercakap mengenai kesudiannya berlakon dalam filem komedi Bujang Telajak itu, jelasnya dia terima tawaran daripada Line Clear Motion Pictures kerana dia mahu bekerja dengan produsernya, Profesor Madya A Razak Mohaideen.
“Apabila saya terima tawaran Line Clear, saya tak rasa yang saya mengambil risiko. Saya suka berlakon dalam filem yang ada menyelitkan mesej seperti dalam filem ini.
“Watak saya sebagai Puteri dalam filem ini pun ringan dan tujuan saya berlakon dalam filem juga untuk menghiburkan penonton. Mereka yang menonton filem ini tidak perlu berfikir dan antara tujuan pembikinan filem ini pun untuk buat penonton gembira.
“Walaupun saya bukanlah pelawak tetapi apabila dapat bersama berada dalam filem ini dengan pelakon lain seperti Nabil, Johan dan Saiful Apek, ia satu perkara yang sangat bagus,” katanya.
Tambah Fazura, dia tidak meletakkan sasaran sampai bila dia akan terus berlakon. Barangkali katanya, dia akan berhenti dari arena seni selepas dia berkahwin nanti.
Bujang Telajak Belum Terlanjur yang menyingkap kisah tiga sekawan (lakonan Saiful Apek, Johan dan Nabil) yang masih belum bertemu jodoh sehinggalah mereka berkenalan dengan Puteri. Akibat desakan keluarga masing-masing yang mahukan mereka cepat berkahwin, ketiga-tiga mereka terpaksa bersaing sesama sendiri untuk memikat Puteri.
Akhirnya mereka menemui satu cara terbaik untuk memenangi hati Puteri iaitu menyamar sebagai orang kurang upaya (buta, pekak dan bisu). Maka berlakulah peristiwa yang menggelikan hati sepanjang proses mengurat.
Namun, Puteri bijak menilai mereka dan dia memilih seorang daripada mereka untuk dijadikan teman hidup. Jadi, antara Saiful, Johan dan Nabil, siapakah yang paling hebat di mata Puteri? Semuanya akan terjawab di akhir cerita.
Walaupun jalan ceritanya seakan tampak ringkas namun penonton pasti akan terkejut dengan ‘pemberian’ komedi daripada Apek, Johan dan Nabil. Gabungan mereka jelas mencetuskan klimaks ketawa yang cukup maksimum untuk menghiburkan hati anda.
Filem ini mula ditayangkan pada 19 Januari ini di 75 pawagam termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei.
7 perkara mengenai Fazura
Perangai pelik anda?
Basuh tangan hingga 20 kali sehari
Selalu berangan mahu jadi apa?
Mahu jadi Datuk Sheila Majid. Waktu kecil suka menyanyikan lagu Sinaran dan selalu tengok konsert dia
Selain Malaysia, anda teringin tinggal di mana?
Makkah
Barang penting yang sentiasa dibawa bersama?
Pencuci tangan dan pengecas telefon bimbit
Lelaki idaman?
Lelaki yang beriman dan menjadi pembimbing untuk kebaikan di dunia dan akhirat
Perkara yang paling dibenci dalam hidup?
Orang hipokrit, lain di depan, lain di belakang
Kenangan paling manis?
Mengerjakan umrah dan bercadang untuk mengerjakan haji
0 comments:
Post a Comment