SELEPAS dikritik hebat pelbagai pihak mengenai isu pengambilan pemain import, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya bersedia berlembut apabila membuat keputusan mengejut, melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import hingga 13 Februari ini.
Bagaimanapun badan induk bola sepak tanah air itu menegaskan, keputusan mereka membuat ‘pusingan U’ selepas bertegas tidak mahu melanjutkan tarikh akhir pendaftaran pemain import Liga Malaysia 2012 (Liga-M) pada 8 Disember lalu, bukan dibuat atas tekanan mana-mana pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menilai semua rayuan pasukan negeri dan kelab dalam mesyuarat khas semalam.
“Pihak jawatankuasa sudah memperhalusi rayuan bukan saja dari Terengganu tapi semua pasukan yang gagal mendaftar pemain import sebelum ini atas pelbagai sebab.
“Perbincangan ini dilakukan demi kepentingan bola sepak dan bukannya atas tekanan kepada jawatankuasa ini. Kami memutuskan untuk melanjutkan tarikh pendaftaran sehingga 13 Februari. “Semua pasukan boleh mendaftar pemain dalam tempoh sebulan namun perlu melalui TMS (Sistem Pemadanan Perpindahan) yang diperkenal Fifa serta peraturan FAM yang ditetapkan sebelum ini,” katanya.
JKPT mengadakan mesyuarat khas dua hari selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengancam pasukan negeri itu dan T-Team akan menarik diri dari Liga-M musim ini jika pemain import, Francis Doe Forkey dan Erison Da Silva Santos Carnietto tidak dibenarkan beraksi.
Keputusan itu menyaksikan hanya 26 pemain import beraksi musim ini selepas FAM membuka semula pintu buat pemain import selepas empat tahun dibekukan.
Ketika ditanya mengenai tindakan menarik diri dan menyaman FAM oleh Ahmad, Hamidin berkata: “Kami tidak bincang perkara itu, kami hanya membincangkan rayuan setiap pasukan.” Menurutnya, selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Vetting, pemain import yang didaftar boleh beraksi dalam tempoh terdekat.
“Hanya pemain import profesional yang sudah habis kontrak dengan kelab lain sebelum 8 Disember saja layak didaftarkan. Jika tidak mereka perlu membuat pendaftaran kedua pada 2 hingga 16 April,” katanya.
0 comments:
Post a Comment