ENAM tahun tanpa filem baru, peminat mungkin terlupa bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Bob pernah mengasah bakat dalam bidang lakon. Ketika itu, dia muncul membawakan watak pembantu di sisi Misha Omar dan Adam AF2 menerusi filem Main-Main Cinta arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.
Namun, antara lakonan dan nyanyian, Bob lebih banyak aktif di pentas menghiburkan tetamu dan peminat. Sehingga kini, dia boleh dikategori penyanyi program realiti yang masih bertahan dan terus mendapat sokongan ramai peminat.
Bercerita perkembangan terbaru, Bob sebenarnya sudah terbabit dengan filem baru bersama pelakon jelita, Tiz Zaqyah dan Aeril Zafrel menerusi filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios. Dalam filem genre romantik komedi ini, Bob menggalas tanggungjawab membawa watak Amin, abang kepada Nani lakonan Tiz.
Bob berkata, pengalaman kembali ke lokasi penggambaran selepas sekian lama tidak berlakon memberi pengalaman menyeronokkan. Dia yang popular dengan ‘tagline’ mesra di kalangan peminat, menyatakan minat terhadap lakonan masih ada, tetapi sukar memberi komitmen kerana kesibukan tawaran menyanyi.
Bob berkata, pengalaman kembali ke lokasi penggambaran selepas sekian lama tidak berlakon memberi pengalaman menyeronokkan. Dia yang popular dengan ‘tagline’ mesra di kalangan peminat, menyatakan minat terhadap lakonan masih ada, tetapi sukar memberi komitmen kerana kesibukan tawaran menyanyi.
“Merujuk pada Cinta Kura-Kura, saya terima tawaran ini secara kebetulan apabila tidak sibuk dengan persembahan pentas. Selepas mendapat tawaran, saya melihat konsep cerita ini suatu yang menarik.
“Bagi saya, persetujuan saya berlakon dalam filem ini kerana Nizam sendiri dan saya tahu cara kerja dia sangat kreatif. Begitu juga, saya memang teringin berlakon dalam filem membawa konsep imej janaan komputer (CGI),” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi promosi Cinta Kura-Kura di Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya baru-baru ini.
Meletakkan diri pada mata penonton, Bob turut berbangga dengan pencapaian produksi KRU Studios yang berjaya menghasilkan filem yang membawa tarikan berbeza dari aspek penceritaan dan konsep.
“KRU membawa perubahan pada perkembangan filem tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi. Atas misi KRU sendiri menerbitkan filem berkualiti, saya juga tidak mahu lepaskan peluang untuk turut serta.
“Saya sendiri sempat menonton filem Cinta Kura-Kura yang belum disunting dan saya suka apabila melihat visual filem ini sangat meriah dengan pelbagai warna dan saya percaya ia boleh ditonton semua lapisan masyarakat,” katanya.
Berkongsi pengalaman bekerja dengan pengarah Nizam Zakaria, Bob memuji kreativiti pengarah berbakat ini dalam menghasilkan filem berbeza mengikut konsep CGI memberi kelebihan. Bob sebelum ini pernah bekerja dengan Nizam ketika membintangi drama bersiri, Hotel Mania juga terbitan KRU Studios.
“Saya seronok bekerja dengan Nizam kerana dia juga terbuka menerima idea pelakon. Selalunya, sebelum penggambaran dia akan memberi penerangan kepada pelakon mengenai lakonan dan syot yang dia mahukan.
“Bagi saya, cara kerja sebegini penting kerana ia memudahkan kerja pelakon itu sendiri untuk mendalami watak dan memberikan lakonan yang berkesan,” katanya.
Filem ke-10 terbitan KRU Studios ini turut mempersembahkan lagu tema, Pencinta Terbaik nyanyian kumpulan Sofazr ciptaan Edry Abdul Halim. Pelakon lain turut membantu, Tauke Raja Lawak, Harun Salim Bachik, dan Daus AF8 yang tampil sebagai anggota kugiran bersama Adam lakonan Aeril.
Sambil memberi sokongan pada promosi filem ini, Bob juga menyatakan dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri sebanyak 13 episod, Anak Iban United. Menariknya, dia meraih peluang membawakan watak lebih serius sebagai guru yang mengajar di sekolah pedalaman.
0 comments:
Post a Comment