JAKARTA: Satu pembedahan memisahkan bayi kembar siam yang bercantum di kepala selesai dilakukan kira-kira jam 11.30 pagi di Hospital Cipto Mangunkusumo, semalam.
Seorang daripada pasangan bayi kembar yang berasal dari Jakarta Utara itu, Syakira Ainani Hutami tidak dapat diselamatkan, manakala saudara kembarnya, Zahira Ainani Hutami dalam keadaan stabil. “Syakira tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia. Puncanya belum dapat diketahui kerana doktor belum memberi sebarang penjelasan mengenainya,” kata bapa kembar siam itu, Edy Utomo, 30, ketika dihubungi detikHealth. Dalam sidang akhbar sebelum itu, Setiausaha Gedung Kementerian Kesihatan (Kemenkes), Ratna Rosita berkata, pembedahan memisahkan pasangan kembar siam itu berjaya dilakukan.
“Bayi kembar berusia 56 hari itu berjaya dipisahkan kira-kira jam 11.30 pagi oleh kumpulan doktor bertugas,” katanya.
Ratna berkata, pembedahan itu bermula sejak jam 8 pagi. Ketika itu, seorang bayi terbabit dalam keadaan stabil kerana tidak lagi mengalami pendarahan, manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal. Menurut Ratna, sebelum ini sudah ada pembedahan yang berjaya dilakukan iaitu pada 1987. Pembedahan itu juga membabitkan kembar siam yang bercantum di kepala. “Jika tidak salah nama pasangan kembar siam itu Yuliana dan Yuliani. Sekarang, seorang sudah menjadi mahasiswa di Fakulti Perubatan di Universiti Andalas, manakala seorang lagi belajar di kolej teknik,” katanya.
0 comments:
Post a Comment