JURULATIH beregu, Pang Cheh Chang menafikan kenyataan Koo Kien Keat yang masih tercari-cari jurulatih yang boleh membawanya kembali ke prestasi lalu sebaliknya menegaskan “seseorang” yang dicari itu ada dalam diri pemain itu sendiri.
“Bagi saya orang itu adalah dirinya sendiri iaitu keyakinan diri,” kata Cheh Chang.
“Kien Keat-Tan Boon Heong memberi tekanan kepada diri mereka sendiri. Saya amat memahami kedudukan seseorang pemain.
“Masalah utama kedua-dua pemain itu adalah tidak mampu mengatasi fikiran negatif dalam minda sendiri. Apa yang dipamerkan mereka ketika ini menunjukkan tanda-tanda mentaliti tidak berada di tahap yang tinggi.” Menurut Cheh Chang, Kien Keat-Boon Heong sudah menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan setiap kali menjelang kejohanan tapi mereka gagal menterjemahkannya ketika berada di gelanggang.
“Mereka ada kekuatan yang memang tiada pada gandingan lain tapi mereka tidak mahu gunakan. Seperti yang pernah ditekankan Rexy Mainaky, gandingan ini sepatutnya menggunakan kekuatan yang ada pada mereka bukan mengikut permainan lawan.
“Sejak dulu lagi, Kien Keat akan bermain lebih banyak di depan, mencipta peluang dan mematikannya malah Boon Heong sendiri ada kekuatan smash paling kencang.
“Tapi mereka sering gugup dan tergesa-gesa menukar corak mengikut rentak lawan yang memakan diri sendiri.” “Malah setiap kali bermain rubber-set, gandingan ini akan gementar terlalu fikirkan akan kekalahan. Mereka juga makin kehilangan penyudah kerana masing-masing bimbang rakan gandingan akan melakukan kesilapan dan ini tidak seharusnya berlaku.
“Jika dipanggil Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) nanti saya akan bentangkan kepada mereka mengenai kekurangan psikologi Kien Keat-Boon Heong, kemahuan diri dalam perlawanan serta corak permainan,” kata Cheh Chang yang mengakui gandingan itu sebenarnya masih bagus cuma gandingan negara lain menunjukkan peningkatan yang lebih.
Dalam pada itu, ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her mengakui beliau akan mengadakan pertemuan berasingan dengan Cheh Chang, Yoo Yong Sung serta Kien Keat-Boon Heong sebelum beliau bersemuka ‘bos’ di BAM.
0 comments:
Post a Comment