IPOH : Raja Pop tanah air, Jamal Abdillah menolak dirinya kini bergelar ‘jutawan’ selepas kerap menerima jemputan menjayakan persembahan besar selain sering menderma kepada golongan yang memerlukan. Sebaliknya dia bersyukur dengan anugerah dan bakat seni yang dikurniakan kepadanya.
Jamal ditemui pada majlis sidang media sempena Konsert Raja Pop Jamal Abdillah di Medan Gopeng, di sini semalam, berkata, dia bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang tidak pernah putus. Begitupun, dia tidak menganggap dirinya antara golongan ‘orang kaya’ seperti diuar-uarkan sebaliknya mahu berkongsi rezeki yang diperolehi bersama peminat dan golongan yang memerlukan.
“Boleh dikatakan rezeki saya dalam bidang seni agak murah. Peminat dan karyawan seni masih menghargai serta mengikuti perkembangan karier nyanyian saya. Bakat seni adalah anugerah daripada Tuhan,” katanya.
Anak jati Perak itu bakal menjayakan konsert di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 28 Januari ini. Biarpun sering menjayakan persembahan di beberapa majlis tertutup dan showcase di sekitar Perak, namun konsert berskala besar itu adalah kali pertama buat dirinya selepas 32 tahun pembabitannya dalam dunia seni.
“Saya berharap semua perancangan dapat berjalan lancar pada hari konsert nanti,” kata Jamal yang menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada beberapa individu yang menghidapi penyakit kanser, golongan kurang upaya dan anak yatim pada majlis itu.
Sumbangan lebih RM3,000 secara keseluruhan pada majlis itu adalah sebagai daripada langkah awal penganjur menyalurkan bantuan amal kepada golongan yang memerlukan. Pada majlis itu Jamal menyerahkan sumbangan kepada remaja berdepan penyakit misteri, Nursafarina Abdul Rahman, Adnan Hashim, Noraida Bukhari (penyakit kanser) dan Rumah Anak Yatim Hawa, Manjoi.
0 comments:
Post a Comment