FILEM KL Gangster terus ‘terbang tinggi’ apabila bakal bersaing pada filem pecah panggung pada Hua Hin Film Festival 2012 di Bangkok, Thailand, minggu depan.
Selepas mencatat kenangan manis menerusi kutipan RM12 juta karya sutradara muda, Shamsul Yusof ini dicalonkan untuk bersaing dalam kalangan 50 filem pecah panggung antarabangsa pada festival diadakan selama empat hari itu.
Dalam nada ceria produser filem terbabit, Datuk Yusof Haslam berkata, pihaknya gembira KL Gangster dicalonkan pada festival filem antarabangsa.
“KL Gangster berada dalam saingan bersama filem pecah panggung dan pemenang anugerah dari Taiwan, Korea, Filipina serta filem projek Hollywood bertajuk 360 arahan Fernando Meirelles.
“Berita menggembirakan ini sekurang-kurangnya memberi petanda baik terhadap penerimaan orang luar terhadap filem Malaysia.
“Saya dan kru bersyukur kerana hasrat selama ini mahu memartabatkan filem Malaysia ke tahap lebih tinggi mula menampakkan hasilnya,” katanya sewaktu ditemui pada penggambaran filem KL Gangster 2 di Bangsar, baru-baru ini.
Filem KL Gangster 2 kini masih dalam peringkat penggambaran juga berdepan prospek pertambahan bajet dan penggambaran dilanjutkan.
Kata Yusof, Skop Production juga baru menambah bajet asal dari RM3 juta kepada RM3.3 juta. Malah, jangka masa penggambaran dari 45 hari berlanjutan hingga 75 hari kerana mahu memberikan kesan dua kali ganda daripada filem pertama.
“Pertambahan bajet disebabkan inisiatif jiwa anak muda seperti Shamsul yang mahu memberi impak letupan lebih hebat dan beberapa kenderaan ‘dijahanamkan’,” katanya.
Kata Yusof: “Saya yakin filem KL Gangster 2 ini pasti dinantikan penonton kerana kami menyuntik banyak adegan lebih lasak. Kehadiran ‘Hero Malaya’ Rosyam Nor bakal beraksi bersama pelakon asal, Aaron Aziz dan Adi Putra sudah tentu memberi impak tersendiri kepada penonton,” katanya.
Penggambaran KL Gangster 2 dimulakan pada 1 Disember 2011 membabitkan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk Petaling Street.
Hua Hin Film Festival 2012 selama empat hari bermula 26 hingga 29 Januari ini bakal menyenaraikan bengkel serta program memberi fokus kerjasama negara Asean membangunkan industri perfileman.
Hua Hin Film Festival 2012 dianjurkan Persekutuan Kebangsaan Persatuan Filem Negara Thailand.
0 comments:
Post a Comment